Free Website Traffic!

Tuesday

Mencari Idea Dan Peluang Perniagaan

Mencari Idea Dan Peluang Perniagaan

by www.min.com.my

Definisi Peluang

Peluang ialah satu keadaan yang boleh memberi faedah atau membawa kejayaan kepada seseorang yang muncul atau diwujudkan untuk diambil segera. Peluang biasanya menghampiri seseorang itu dalam keadaan yang samar-samar dan tidak pasti. Cuma seseorang yang cekap dan bersedia sahaja yang dapat mencekup peluang yang ujud di hadapannya. Peluang yang lambat direbut akan terlepas ke tangan orang lain.

Setiap perniagaan bermula daripada peluang yang dapat dikenalpasti dan diambil kesempatan untuk dimajukan. Kewujudan peluang perniagaan untuk menawarkan barangan dalam pasaran tertentu bergantung kepada perubahan dan arah aliran dalam faktor-faktor persekitaran yang meliputi suasana ekonomi, sosiobudaya, politik, undang-undang, teknologi dan tahap persaingan.

Ini ialah kerana faktor-faktor persekitaran mempengaruhi perubahan dalam permintaan pelanggan terhadap jenis barangan tertentu. Maka, proses memerhati dan meneliti perubahan dan arah aliran dalam faktor-faktor persekitaran sangat penting kepada seseorang usahawan untuk merebut peluang perniagaan dalam pasaran tertentu.

Yang dimaksudkan dengan peluang dalam pasaran ialah apabila masih terdapat ruang atau kesempatan untuk menawarkan barangan yang boleh memenuhi permintaan dan citarasa pelanggan.

Terdapat dua situasi bagaimana peluang perniagaan boleh wujud dalam pasaran.

Situasi pertama ialah barangan yang sudah wujud dalam pasaran tetapi masih belum dapat memenuhi sepenuhnya permintaan dan citarasa daripada pelanggan. Ini mungkin disebabkan barangan kurang bermutu, kurang pilihan, harga yang tidak berpatutan, sukar diperolehi atau ciri yang kurang menarik.

Situasi kedua ialah pelanggan inginkan barangan yang dapat membantu menyelesaikan masalah mereka seperti alat yang boleh mempercepatkan proses menoreh getah, cecair yang boleh mengilatkan kereta tanpa banyak usaha atau perisian komputer untuk mempercepatkan kerja-kerja pejabat.

Mengenalpasti, mengkaji dan memilih peluang perniagaan bukan suatu perkara yang mudah. Ia dianggap sebagai satu langkah bagi seseorang usahawan dalam usaha untuk memulakan perniagaan.

Cara-cara Untuk Mengenalpasti Peluang Perniagaan

Perniagaan bergantung kepada manusia dan aktivitinya. Selagi ada aktiviti-aktiviti ini, selagi itulah ada peluang-peluang perniagaan. Bukannya mudah untuk mengenal pasti peluang perniagaan, semua jenis perniagaan yang hendak kita lakukan, kebanyakkannya telah dijalankan oleh orang lain. Oleh yang demikian, kita takut menceburkan diri dalam dunia perniagaan, kerana kita tidak dapat mengenal pasti peluang perniagaan. Tetapi peluang ini terdapat pada seseorang yang mempunyai sifat-sifat keusahawanan.

Semua jenis perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada DAYA PEMIKIRAN. Berikut disenaraikan beberapa cara yang usahawan-usahawan gunakan untuk mengenal pasti peluang perniagaan.

i. Daya Fikiran

Gunakan daya fikiran untuk berfikir setiap masa, tumpukan fikiran terhadap perniagaan, cubaubahkan apa yang dilihat, supaya ia dijadikan barang perniagaan. Berfikir selalu. Gunakan daya pemikiran untuk membayangkan sesuatu yang boleh menimbulkan keuntungan. Dengan lain perkataan, kebolehan imaginasi untuk menimbulkan perkara atau barang baru di pasaran. Jika kebolehan berfikir kurang, berkumpullah beramai-ramai dan adakan brainstorming. Perbincangan begini selalu berhasil mengeluarkan idea baru.

ii. Melalui Masalah Yang Ada

Segala aktiviti-aktiviti manusia mesti menempuhi masalah. Baik urusan di rumah, di pejabat dan lain-lain hal berkenaan dengan kehidupan manusia mesti menempuhi masalah. Walaupun sekarang zaman sains dan teknologi moden, manusia tetap mempunyai masalah, tidak ada perkara yang tidak mempunyai masalah. Jadi dengan masalah-masalah ini, kita boleh menukarkannya menjadi punca masalah. Penyelesaian kepada masalah merupakan peluang perniagaan, gunakan daya pemikiran untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ada, dan fikirkan cara perniagaan yang bersesuaian sebagai penyelesaian masalah. Kebanyakan daripada perniagaan yang ada sekarang berpunca daripada masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia dulu kala.

iii. Melalui Keperluan Manusia

Sememangnya kehidupan manusia, tidak kira apa bangsa memerlukan sesuatu untuk memenuhi kehendaknya. Manusia perlu makan dan minum, perlukan keselamatan, perlukan kesenangan dan kemewahan serta keselamatan. Keperluan-keperluan ini biasanya berterusan tanpa berhenti selagi seseorang itu masih hidup. Dengan adanya keperluan-keperluan asas semulajadi manusia, usahawan terpaksa memikirkan barangan-barangan dan perkhidmatan yang baru untuk memuaskan hati manusia. Keperluan kepuasan hidup memang luas, boleh dikatakan dari segi makanan, keselamatan, kewangan, hiburan, pakaian dan lain-lain. Keperluan semulajadi manusia telah menimbulkan beberapa jenis barangan seperti radio, televisyen dan telefon.

iv. Mengkaji Selidik Barang Yang Ada

Barang-barang dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada sekarang merupakan daya cipta, dan ubahan usahawan dahulu supaya bersesuaian dengan keadaan sekarang. Tetapi oleh kerana aktiviti penghidupan manusia terus berubah, barangan yang ada sekarang juga perlu diubah dan dikaji selidik.Pengubahan kepada barangan yang ada dan rekaan barang-barang baru untuk barang-barang yang ada akan menampakkan bahawa barang itu barangan baru dan akan mendapat perhatian pengguna dan akan memberi peluang perniagaan kepada sesiapa yang mengubah atau merekanya.

v.Meneliti Permintaan Pasaran

Kehendak dan keperluan pasaran berubah dari semasa ke semasa. Misalnya, pisang emas dan manggis untuk dieksport ke Jepun. Pucuk asparagus untuk dieksport ke Amerika Syarikat. Dalam segi perkhidmatan perniagaan, permintaan pengguna mewujudkan pasar tani dan pasar-pasar malam di beberapa tempat di Malaysia. Bakal usahawan terpaksa meneliti permintaan pasaran yang baru jika mahu mendapat peluang perniagaan.

vi. Meneliti Perkembangan Ekonomi Dan Pembangunan Negara

Ekonomi negara juga berubah dari semasa ke semasa. Projek-projek pembangunan juga ada dari semasa ke semasa. Dengan adanya aktiviti ini, usahawan dapat mengenal pasti di mana projek-projek ini akan diadakan dan bagaimana kita boleh mencebur diri dalam pembangunan tersebut. Misalnya apabila ada rancangan Pembangunan Bandar Sungai Buluh, tuan punya tanah menaikkan harga tanahnya, dan peniaga-peniaga lain berebut-berebut membeli tanah di Sungai Buluh. Sehubungan dengan rancangan ini, banyak projek-projek perumahan telah didirikan sebagai mengambil langkah merebut peluang perniagaan. Jika ada pembangunan dan projek baru, akan ada juga peluang pembangunan yang baru.

vii.Melalui Pergaulan Harian

Perhubungan dan pergaulan harian kita dapat memberi peluang perniagaan kepada kita. Dengan cara mengumpulkan maklumat-maklumat yang diberi, mungkin ia dapat diubah kepada satu perniagaan dan kadangkala tawaran terus kepada kita sebagai peluang perniagaan. Misalnya jika kita bergaul dengan pengurus bank, sedikit sebanyak maklumat-maklumat yang kita bincangkan bersama dapat dijadikan perniagaan. Lihat apa yang diusahakan oleh rakan-rakan kita. Dengar apa yang dicakapkan oleh orang-orang di sekeliling kita, proseskan, maklumat ini sebagai sumber perniagaan.

viii.Melalui Bacaan

Segala idea-idea baru yang diketahui oleh orang ramai melalui bacaan. Segala teknologi baru yang akan dikeluarkan biasanya disiarkan di suratkhabar atau di majalah. Jadi sebagai bakal usahawan, seseorang itu mestilah cepat mendapat maklumat-maklumat ini dan bertindak segera sebelum diketahui orang lain. Peluang-peluang perniagaan banyak terdapat di suratkhabar tetapi orang ramai tidak dapat mengenal pastinya sama ada ianya peluang perniagaan. Hanya orang yang mempunyai sifat-sifat usahawan dapat mengetahui yang mana peluang perniagaan dan yang mana bukan. Misalnya, suratkhabar dan majalah selalu mengeluarkan iklan mencari pengedar, mencari rakan kongsi, menjual perniagaan dan sebagainya. Bacaan-bacaan harian dapat membawa kita kepada peredaran pasaran, pembangunan negara dan mengetahui teknologi-teknologi yang baru di pasaran.

viiii. Melalui Kemahiran Yang Ada

Kemahiran seseorang merupakan punca perniagaan, di mana kemahiran ini boleh dijual sebagai perkhidmatan atau kemahiran ini boleh mereka jadikan barang-barang baru untuk dijual. Contohnya, tukang-tukang besi yang membuat pagar-pagar besi dan rekabentuk daripada besi. Ahli senireka yang membuat barang seni yang dijualkan di pasaran dan pelukis-pelukis yang menjual lukisannya. Seseorang yang pakar dalam bidang pendawaian elektrik sesuai untuknya berniaga sebagai juruelektrik dan pemasangannya. Sesiapa yang banyak pengetahuannya boleh menjual pengetahuannya untuk ceramah, seminar dan lain-lain kursus. Banyak lagi kemahiran yang boleh digunakan sebagai peluang perniagaan.